Thursday, January 29, 2009

Update Blog

Hari ini tak semena-mena jadi rajin sikit untuk update layout blog. Asyik dok buat kerja, bila tengok jam dah pukul 11.50 pagi. Alamak, banyak juga saya habiskan masa untuk ini. Itulah yang terjadi bila tersasar dari target yang ditetapkan, dah jadi lain pula. Hasrat dihati nak juga tanya kekawan apa yang mereka buat ha...mereka membaca ke?, mereka menulis ke? mereka buat kajian ke? merka ber blog macam saya ke? atau...BUAT APA.

Mengetahui apa orang lain buat atau bertanya khabar bagi yang SEALIRAN DENGANNYA adalah perkara yang boleh MEMOTIVASIKAN SAYA.
Setidak-tidaknya selepas itu saya akan menilai balik diri saya. BETUI KE APA YANG AKU BUAT NI...........

Allah hu akbar.

Wednesday, January 28, 2009

Penyakit Lepas Bercuti

Lepas bercuti dua tiga hari, inilah masalah yang selalu saya hadapi... iaitu nak mulakan balik pembacaan selepas ditinggalkan. Alamak..macammana ni nak start engin atau nak kembalikan mood supaya rajin baca balik. Kekadang terfikir macammana saya ni, dan sampai bila akan berkesudahan begini. Keadaan ini akan berlanjutan sampai satu atau dua hari. Tapi bila engin dah start ha.. sukalah pula, masalahnya kini belum lagi start. Untuk mencari point nak start tu...berbagai pusingan saya lakukan, seperti, baca e-mail, buka blog, baca news, telepon kawan, bantu anak buat kerja sekolah dan lain-lain lagi. Tujuannya cuma satu biar bateri panas sikit dan bolehlah start dengan mudah.
Atau adakah cara yang lain? Kalau dikira jam dalam seminggu agaknya berapa jam saja saya betul-betul belajar. Hai macam mana ni? adakah formula yang sesuai dan bagus? Mudah-mudahan saya tidak terus dihanyut oleh keselesaan yang saya ada sekarang. Ya Allah permudahkanlah hambamu ini.

Saturday, January 24, 2009

Balik kampung

Esok Hari Ahad kami sekeluarga akan balik kampung suami di Rompin, Pahang. Dah dua bulan rasanya tak balik, cuti panjang pula tu rasanya elok juga berjalan dua tiga hari. Opp.. sebelum tu kami akan singgah di Parit Jawa Muar, kerana ada jemputan kenduri kahwin oleh kawan suami yang dah lama tak jumpa. Dah besar rupanya anak dia. Dah dapat menantu.

Biasanya bila balik kampong aktiviti yang tak pernah ditinggalkan oleh anak-anak dan suami ialah mandi laut. Bukan main seronok lagi mereka, terutamanya anak-anak siap bawa baju mandi lagi. So, pagi-pagi esok nampaknya kena siap-siapkan makan pagi, pakaian dan lain-lainlah untuk dibawa balik ke kampung.

Semoga perjalanan kami nanti mendapat kerahmatan daripada Allah dan dilindungiNya. Amin

Friday, January 23, 2009

Cerita Kenaikan Pangkat

Seorang kawan telepon saya nak pinjam tengok dokumen-dokumen saya semasa memohon kenaikan pangkat dulu. Dia pun nak mohon juga sebab permohonan kenaikan pangkat telah dibuka dan tarikh akhir untuk hantar permohonan telah dinyatakan.

Eh.."datanglah kat umah ambil" dan saya boleh terang sekali macam mana nak buat. Seperti yang dijanjikan kawan saya pun datang ambil dan memproses permohonan beliau. Semalam beliau pulangkan balik dokumen saya tu, dan katanya, " akak saya ikut macam mana akak buat, teratur dan senang dilihat dan ini memudahkan saya, kerana sebelum ini dokumen saya berterabur dan tak tersusun, akak ni memang sistematic personlah dan saya suka sangat".

Saya kata padanya, "kalau kita nak mohon sesuatu dan nak bagi orang nilai kita dengan cara senang maka kita perlu tonjolkan dokumen yang kita hantar dengan cara yang sistematik dan teratur supaya orang tengok pun senang hati dan mudah dibaca, jadi tak ada banyak kerenah kemudian hari nanti". Dia pun kata saya setuju dan setuju.

"Lepas satu bab, dan kini nak bersiap sedia untuk buat persediaan melanjutkan pelajaran pula. Kalau boleh dan diizinkan Allah biarlah permohonan ini berjaya sebelum cuti belajar bermula, sebagaimana yang akak alami, kan senang tak payah fikir-fikir lagi", dan boleh fokus pada pelajaran. Betul tak akak? betul..betul.

Amin, semoga permohonan kawan saya berjaya.

Teringat kisah saya mengenai permohonan kenaikan pangkat ni, tiga hari sebelum saya dan keluarga bertolak ketanah suci untuk menunaikan Umrah, saya dimaklumkan secara verbal bahawa temuduga akan diadakan pada hari kami nak ke tanah suci. Allah huakbar..macam mana ni..permohonan ini adalah yang sekian lama ditunggu dan ke tanah suci buat Umrah telah tersurat untuk saya dan keluarga setelah segala perancangan berjalan dengan baik. Lalu saya bertawakkal dan ambil keputusan ke tanah suci, dan kalau ada rezeki saya, maka adalah nanti.

Semasa di Tanah Suci doa, sembahyang hajat dan cucuran airmata bertalu-talu. Pada masa itu hanya Allah yang mengetahui segalanya isi hati ini.
Allah Maha Besar, berkat tawakkal dan doa saya pada Allah di tanah suci temuduga ditunda dan akhirnya kami (saya dan suami) perolehi hidayah daripadanya dan dimurahkan rezeki dan kami memperolehi kenaikan pangkat yang dipohon. Syukur Alhamdulillah.

Beralih Angin

Hari Selasa yang lepas iaitu pada 20 hb Januari telah buat perancangan nak ke UPM pada hari Rabu iaitu pada 21hb, itupun belum pasti lagi pada waktu itu, kiranya merancang saja, dan pada pagi hari Rabu benar-benar buat keputusan dan pergi ke UPM. Niat di hati dalam perjalanan saya untuk mencari ilmu nanti semoga dapat petunjuk daripada Allah, sebab tak ada specific topik atau yang terancang pun apa yang nak dicari. Semasa memandu sentiasa berdoa semoga perjalanan saya pada hari itu sedikit sebanyak akan ada hasilnya. Disamping itu saya juga ingin keluar dari 'zon selesa' yang saya lalui kini iaitu belajar di rumah. Sekali-sekala rasanya perlu ada perubahan angin, untuk motivasi diri dan minda... itu pandangan saya.

Setibanya di resource center.. masuk dan tengok-tengok kajian-kajian lepas yang telah dihasilkan oleh para graduan, ..saya baca satu tajuk kajian yang berkaitan ..effectiveness of responsiblity model......, so saya baca dan terus baca dan yang pentingnya saya tengok macam mana methodology yang dibuat.
Hasilnya dapatlah gambaran pada saya kerana tajuk kajian ini ada persamaan dengan proposal saya yang awal dulu yang berkaitan dengan experimental research. Walaupun apa yang dibaca berlainan bidang kajian tapi saya perolehi sesuatu hasil daripada pembacaan tersebut.

Saya bersyukur kerana Allah beri petunjuk pada saya yang lemah ini, semoga mendapat hidayah lagi daripadaNYA. Amin

Thursday, January 22, 2009

Pengalaman kekawan

Ada kawan dah tamat belajar PhD. Setelah buat minor correction, so kiranya dah boleh dapat Dr lah tu tak lama lagi. Saya berjumpa dan berbual sambil ingin mendapatkan tips atau petua bagaimana pengalamannya dari mula sehinggalah dia berjaya. Apa yang sempat saya bercakap dan kumpul maklumat daripada dia dan daripada kekawan yang lain ialah;
  • kita keseorangan dalam melayari perjalanan hidup ini.
  • kita akan lebih mengenali diri kita - siapa aku sebenarnya.
  • kita akan lebih dekat dan menyayangi Allah kerana denganNYA lah tempat kita mengadu segalanya.
  • banyakkan berdoa, bersembahyang sunat, dan setiap kali nak buat sesuatu yang baru, sembahyang hajat dan mohon petunjuk pada Allah.
  • disiplin diri yang paling utama sebagai seorang pelajar.
  • selalu berhubung dan bertanya kekawan yang ada pengetahuan bila hadapi masalah, jangan sendirian.
  • buat refleksi pencapaian diri, apa yang telah diperolehi sepanjang pengajian.
  • aturkan temujanji dengan penyelia dan juga dapatkan pandangan daripada orang lain.
  • dan lain-lain

Semoga tips yang sempat dikumpul ini akan bermanafaat untuk saya melayari kehidupan ini. Mungkin ada banyak lagi yang tak tertera di blog ini. Semoga saya mendapat hidayah daripada Allah dalam menghadapi kehidupan ini.

Monday, January 19, 2009

19 January 2009

Bertolak balik dari UTM sekitar jam 6.15 ptg, sampai kat Melaka pada jam 7.45 mlm, itupun sebab tak berhenti kat mana-mana, terus aje dan bawa kereta antara 120km/j dan 130 km/j. Kalau ikut limit biasa 110km/j akan sampai pada jam 8.00 mlm.

Lepas bersihkan diri dan lakukan apa yang patut, tengok beg sekolah anak-anak, ketiga-tiga orang sekali, maka terjumpalah kerja-kerja sekolah yang harus dibereskan oleh mereka. Selepas anka-anak balik daripada tuisyen nanti maka kerja sekolah perlu disiapkan. Dengan kata lain walaupun badan ni rasa letih terpaksalah tunggu sehingga mereka habis buat kerja sekolah. Tugasan sendiri diketepikan buat sementara waktu, mungkin esok akan dibuat. Tengok keadaan. Kerja-kerja yang kena buat ialah statistik 2 dan baca buku-buku yang dipinjam dari library.

Perlu segerakan kerja dan jangan bertangguh, takut tak menjadi. minggu depan dah nak balik kampung, raya... sekolah cuti dan mid-term break.

Hari ini

Hari ini saya akan ke UTM lagi, mungkin sekitar jam 12.30 nanti, kelas jam 4 ptg. Tadi baru bercakap dengan prof azlan minta dipercepatkan kelas dan bertanya kekawan, keputusannya kelas bermula jam 3.30ptg, oklah tu. Setidak2nya balik ke melaka tidaklah sampai malam. Dalam sibuk-sibuk nak buat itu dan ini, tiada perubahan dalam pembacaan untuk dissertation, hai apa nak buat ni...

keadaan ini yang membuatkan rasa nak demam tak deman, atau suam-suam kuku mula kembali. Hai apa nak buat ni.. macam mana ni...kat mana yang harus diberi penumpuan.....ai tak tau lah, rasa nak bercakap-cakap aje dengan kekawan,....ya Allah berilah petunjuk pada hamba mu ini.

Friday, January 16, 2009

Majlis bacaan Yaasin

Bagi menjayakan aktiviti bercorak keagamaan maka wanita-wanita TTU 31 telah menjalankan aktiviti membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat yang lalu iaitu pada 15 januari 2009 di rumah salah seorang ahli yang ikut serta. Sebagai permulaan kiranya ok jugalah sebab seramai 12 orang ikut hadir. Pada 22 hb Januari nanti dah ada permintaan untuk aktiviti ini di rumah ahli yang ikut serta. Perancangan ahli-ahli aktiviti yang ingin dilaksanakan ialah ceramah agama pada hari Rabu jam 9.00 pagi, 2 x dalam sebulan dan diikuti oleh bacaan yaasin dari rumah kerumah mengikut permintaan dan ditetapkan 2x juga dalam sebulan.

Ada lagi aktiviti yang terfikir diingatan dan ingin dilaksanakan oleh ahli..
Walau apapun dua aktiviti ini akan diberi keutamaan terlebih dahulu. Semoga mendapat keberkatan dari Ilahi. Gambar aktiviti akan dipost kemudian...he.he..

Tuesday, January 13, 2009

Ceramah Agama wanita lorong TTU 31

Pada 14 Januari 2009 bersamaan hari Rabu wanita-wanita di Lorong TTU 31 akan menganjurkan sesi ceramah dan akan disampaikan oleh seorang ustaz. Aktiviti ini adalah merupakan satu langkah awal untuk mengimarahkan aktiviti di kalangan wanita di lorong TTU 31, Taman Tasik Utama. Mengikut perancangan awal oleh beberapa orang ahli, aktiviti lain yang akan dilakukan ialah bacaan yasin, jamuan keluarga dan lain-lain.

Aktiviti ini adalah merupakan aktiviti penggerak untuk menghimpunkan wanita-wanita yang ada dan berkelapangan disekitar lorong ini. Semuga usha murni ini mendapat keberkatan dari Ilahi.

Monday, January 12, 2009

Tambah subject

Semalam dapat sms daripada kawan menyatakan subject Statistik 2 in education telah ditawarkan, itupun setelah dibuat rayuan oleh segelintir pelajar. Kelas bagi subject ini pula pada hari Isnin jam 4.00ptg, dan kebiasaannya akan habis pada pukul 6.00 atau 6.30 ptg. Pendaftaran online perlulah dibuat segera sebab petang ni ada kelas. Bila dibuka laman web pendaftaran subject online didapati pada masa ini jam 10.30 pagi terdapat seramai 6 orang pelajar yang telah mendaftar termasuklah saya.

Maka bermulalah satu penyusunan aktiviti yang baru, kerana kena pergi ke utm dua kalilah dalam minggu ni. Ini bermakna dalam perkiraan ada dua kali lagi tidak termasuk hari ini saya akan berulangalik 2 kali seminggu ke utm dari Melaka. Alamak letih juga lah tu...

Walaubagaimanapun, bila diambil kira pada semester ini aje ada kelas dan semester depan dah tak ada kelas, kiranya o.k jugalah tu dan boleh beri tumpuan pada aktiviti lain. Mudah-mudahan apa yang dirancang ini berjalan dengan baik.

Ya Allah aku bersyukur dan berserah padaMu atas apa yang telah kau suratkan pada hambamu ini. Perkenankanlah hambamu ini semoga berjaya dalam perjalanan hidup ini.

Friday, January 9, 2009

Keberkatan dan Ketentuan Ilahi

Keberkatan Ilahi dan ketentuan Ilahi, itulah tajuk blog ini dipagi jumaat yang mulia ini. Tergerak untuk menamakan tajuk ini setelah selesai memberi sedikit pandangan dan komen pada rakan-blog yang lain.

Dulu saya adalah seorang yang tidak suka nak berblog sebegini, tapi kini setelah sebulan menceburi dan mendalaminya maka jadi satu keperluan pada saya untuk tahu apa yang berlaku pada rakan-rakan blog yang lain terutamanya rakan blog yang saya anggap sinnifikan dan akan memberi menafaat pada saya seperti motivati diri, apabila membaca baris-baris ayat yang ditulis.

Melalui blog, saya dapati saya telah melakukan muhasabah diri secara tersusun melalui penulisan. Dulu buat hanya melalui self-talk, tapi kini secara bertulis dan boleh dibaca oleh orang lain. Secara tak langsung kita lebih mendisiplinkan diri serta melatih kita menjadi penulis yang baik... Insyaallah.
Setidak-tidaknya melalui penulisan ini juga kita menghayati dan menghargai diri kita 'melalui aktiviti harian' yang diterjemahkan dalam bentuk penulisan.

Itulah yang dikatakan ketentuan dari Ilahi sebab kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada kita pada masa yang akan datang, semuanya dari Ilahi.

Semoga apa yang saya lakukan ini mendapat keberkatan dari Ilahi dan semoga dipermudahkan saya dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang ditempuhi kini. Amin.

Thursday, January 8, 2009

Israel dan Palestin

Dah seminggu lebih di muka depan akhbar utama (UM) memaparkan muka-muka yang tak berdosa menderita kesakitan akibat pengeboman di bumi Palestin oleh pihak Yahudi-Israel. Bila tengok saja gambar-gamba begitu hati tersentak, tergamam, sedih, pilu dan macam-macam perasaan ada.

Diibaratkan kalaulah pelaku-pelaku pengeboman itu adalah suratkhabar yang ditatap, sah dah kena kerenyok... atau kena sental.. tapi apa kan daya.
Gambar tu sungguh menyayat hati, dan tak sampai hati menatap lama-lama.

Bumi Palestin tak habis-habis bergelora, seingat saya dari dulu lagi, sejak saya mula-mula belajar membaca dah ada cerita Palestin dan Israel.

Syukur alhamdulillah, bumi Malaysia tak macam tu, syukur yang teramat sangat saya masih boleh melihat awan di pagi hari, mendengar kicauan burung dan melihat anak-anak bermain. Semoga Malaysia negaraku dijauhi dari sebarang bencana.

Wednesday, January 7, 2009

Ikut gerak hati

Alhamdulillah,

Sebab ikut gerak hati dan janji pada diri sendiri untuk buat apa yang dijanjikan maka ini merupakan kali kedua berada di bilik di pejabat. Ada tanda-tanda kemalasan dan perasaan nak tunda dan duduk di rumah aje pagi tadi. Tapi bila difikirkan balik, elok tinggalkan segala keselesaan yang ada dan cari kelainan sikit dalam perjuangan ini sebab itulah saya berada disini. Niat satu, supaya semester ini ada penambahbaikan yang baik dalam pengajian.

Buat seketika ini mengikut Ketua Jabatan, bahagian ini hanya akan berpindah ke kampus induk pada semester depan, jadi semester ini masih berpeluang lagilah gunakan kemudahan yang diberi, tapi kalau dimaklumkan ada orang lain nak guna bilik ini, apa nak buat... kita cuma menumpang saja.

Lagipun gunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin. Pastikan ada penambahbaikan... itu yang penting.

Semoga diberkati.

Tuesday, January 6, 2009

Azam baru, tindakan baru

Ya Allah berkatilah apa yang aku lakukan ni....

Sekarang ni berada di bilik di pejabat lama di Jabatan Kokurikulum.. hasrat di hati nak ubah situasi supaya ada perbezaan sikit dalam pembelajaran. Selama satu semester yang lepas ada 3 subjek yang diambil kira padat jugalah tu, maka sesi pembelajaran hanya bermula dirumah saja. Untuk semester ini berazam akan dibuka dua cawangan. Cawangan yang sedang digunakan ni dah ada lama tapi tak digunakan sebab tak kesampaian. So, untuk semester ini insyaallah akan dilakukan seperti yang dirancang supaya apa yang dihasratkan dalam suasana pembelajaran yang berbeza itu akan ada pembaharuan ke arah pembaikan.

Suasana bilik ni memang kondusif, dan sesuai untuk mentelaah dan semoga tak ada gangguan, walaubagaimanapun rasanya nak kena decorate lah sikit sana sini supaya lebih bersemangat untuk belajar, tambahan lagi nampak kosong aje sebab dah lama tinggal. Opps.. latarbelakang muzik kena ada.. tengoklah macam mana nanti. ( kebiasaannya akan lebih bermotivasi untuk belajar bila ada muzik-muzik semangat )

Internet pun boleh dapat, jadi dapatlah buat dengan lebih berkesan. Apa yang perlu dilakukan sekarang ni adalah perancangan aktiviti harian. Dalam minda berkata kalau boleh di sebelah pagi akan berada dipejabat dari jam 9.00 pagi sehingga jam 12.30 tengahari, sebelah petang pula akan buat kerja dari rumah disamping itu boleh bantu anak-anak buat kerja sekolah atau memantau mereka pergi sekolah agama dan mengaji quran.

Itu adalah perancangan setakat ni, jadi atau tidak dan apakah kesannya yang akan diperolehi, tak tau lagi, wallallah hu aqlam..

Semoga apa yang dirancangkan ini diperkenankan oleh Ilahi dan diberkati.

Ya Allah berkatilah aku, dan berikan petunjuk pada hambamu ini ke jalan yang lurus. Amin.

Monday, January 5, 2009

Budak baru sekolah

Hari pertama Arif Najmi ke Sekolah Kebangsaan AK, sesi persekolahan telah bermula, maka bermulalah satu diari baru untuk diriku dan anak-anak. Tahun ini ada tiga orang yang bersekolah. Rutin harian telah dirangka supaya tak kelam kabut. Bermula daripada sekolah kebangsaan, sekolah agama dan tuisyen. Itu tak termasuk lagi nak tengok homework yang ditugaskan oleh guru untuk disiapkan, tambah lagi tugasan sendiri yang berpanjangan.

Arif Najmi pandai bergaya, dalam keadaan sibuk-sibuk diperhimpunan pagi dan diminta buat barisan lurus sambil beratur, sempat juga berposing bila dipanggil untuk ambil gambar. Yang ketaranya dia adalah diantara yang kecil berbanding kawan-kawannya yang di depan dan di belakang. Pengalaman pertama ini yang diperhatikan asyik menguap saja dan mengatuk. Tak apa itu hari pertama lama-lama akan biasalah tu.

Doa mama dan ayah semoga jadi anak yang berjaya duniawi dan ukhrowi. Semoga diberkati oleh Allah.



Sunday, January 4, 2009

Tahun 2008 dalam kenangan











2008 dalam kenangan, ini merupkan kali yang ke berapatah cuba nak upload gambar kenangan bagi tahun 2008, akhirnya berjaya juga tapi tak kreatif.
Gambar tu ada tapi tak berapa pandai... cuba dan cuba bolehlah..
Lepas ni bolehlah ambil gambar-gambar menarik untuk tatapan.
Gambar-gambar kenangan di atas adalah diantara aktiviti yang telah berlaku pada tahun 2008. Gambar 1 dan 2 anak-anak di pusat hiburan JJ, gambar 3 anak-anak main hujan, gambar 4 terkandas di lapangan terbang Jeddah, Arab Saudi masa buat Umrah dan gambar 5 bersama ahli keluarga buat umrah - tak ada dalam gambar suami ( dia yanga ambil gambar).




Friday, January 2, 2009

January 1st, Skudai UTM

Semalam hari Khamis 1 January 2009, saya ke UTM, Skudai Johor Bahru untuk mendaftar asrama dan ada kelas prasyarat pendidikan kepimpinan. Lebih kurang pukul 10 pagi bertolak dari Melaka dan sampai pukul 12.00 tengahari. Bila sampai terus mendaftar asrama dan terus mengemas bilik ala kadar iaitu sapu samah dan bentangkan tikar getah, pukul 1.30 ptg selepas zohor terus pergi ke fakulti untuk cari bilik yang dimaksudkan kerana kelas akan bermula jam 2.00 ptg. Bila pensyarah sampai semua pelajar masuk dan ding, dong, ding, dong hampir jam 4.00ptg semua bersurai.

Apa yang menariknya dalam kelas ini ialah pertemuan hanya diadakan 4 kali sahaja dan ianya merupakan perbincangan mengenai isu-isu semasa dalam pendidikan. Semua pelajar diminta cari kumpulan masing-masing dan pertemuan berikutnya dah ada topik dan draf ide untuk tajuk yang akan dibincangkan.Terdapat 16 orang pelajar dan 4 kumpulan telah dibentuk . Setiap kumpulan akan membuat pembentangan nanti. Yang bestnya kumpulan saya tu adalah terdiri daripada kekawan Master yang sama kumpulan masa buat perbincangan dalam kumpulan bagi subjek Leadership dulu. Alamak bestnya, sebab dah kenal dia orang dan selalu juga contact mereka bertanya khabar.

So....bila habis kelas terus buat keputusan nak batalkan penginapan di asrama, kerana pertemuan hanya 4 kali saja dan itu lah satu-satunya subjek yang ambil pada semester ini, sebab satu lagi subjek tidak ditawarkan. Kalau tak buat gitu rasanya membazir duit saja sewa asrama tapi tak duduk. Selepas ding dong dengan pengurus asrama diapu delete nama dan pada jam jam 4.30 ptg bertolak balik ke Melaka dan sampai kat rumah jam 6.30 ptg.

Nampaknya perancangan semester ini telah berubah, maka kenalah ubah strategi. Niat dihati mulanya bila kelas kurang ni boleh lah rancang duduk lama sikit di asrama dan mula buat penulisan, tetapi lain jadinya. Walaubagaimanapun mungkin ada hikmah disebalik semua ni, dan saya redha dengan apa yang berlaku, yang pentingnya di sini saya perlu buat perancangan baru, sebab banyak masa akan dihabiskan di Melaka, so...ingat-ingat di hati saya kena wujudkan satu lagi suasana tempat pembelajaran supaya tidaklah saya boring nanti. Setakat ni yang ternampak di mata ialah di bilik di pejabat lama. Opp.. tengoklah nanti, boleh ke tidak.

Semuga Allah memberkati saya dan mendapat hidayah baru.